Keadaan di stesen TAPOPS setelah diceroboh sudah semakin pulih. CardBot telah berjaya menukarkan semula semua ahli TAPOPS daripada kad – kad yang memenjarakan mereka, walaupun sfera kuasa itu memerlukan masa yang agak lama akibat penggunaan tenaga yang banyak. Kisah ahli-ahli baru TAPOPS yang kuat dan berkebolehan tinggi iaitu Boboiboy, Gopal, Yaya dan Ying telah tersebar dalam kalangan anggota TAPOPS. Ramai yang kagum dengan kehebatan 4 remaja dari planet Bumi dan kehadiran mereka disambut dengan baik.

Komander Koko Ci memerhati interaksi antara Boboiboy dan rakan – rakannya dengan beberapa ahli TAPOPS melalui CCTV. Mereka bersembang secara santai di ruang istirehat. Komander Koko Ci sengaja tidak mengaktifkan suara untuk mendengar perbualan mereka untuk memberi privasi pada mereka. Gopal bermuka merah sambil tersenyum malu manakala yang lain – lain ketawa terbahak – bahak. Hah, mungkin Gopal telah menceritakan sesuatu yang memalukan atau lawak yang tidak menjadi.

Kedengaran bunyi pintu bilik kawalan stesen TAPOPS dibuka dan Komander Koko Ci berpaling ke belakang. Seperti yang dijangka, Kaizo tiba tepat pada masa yang telah dijanjikan. Komander Koko Ci serta merta bangun dari kerusi dan memberi tabik hormat kepada Kapten Kaizo. Habis Kaizo membalas kembali tabik hormat, Koko Ci menukarkan paparan skrin kepada visual di Bilik Kebal Power Sphera. HookaBot, CardBot, TargetBot, HidungBot, ApiBot, BebelonBot, SimenBot, InviBot, MelonBot, GigiBot, TrophyBot, DashBot dan LoopBot muncul di paparan skrin. Kesemua power sphera berada dalam keadaan dorman.

"Sebenarnya stesen ini telah berjaya menyelamatkan enam belas kuasa sphera. Lagi tiga adalah Ochobot, BellBot dan MotoBot. Tapi setelah berbincang dengan Laksamana Tarung, kami rasa lebih baik ketiga – tiga kuasa sphera itu kekal di stesen ini bagi membantu menjalankan misi – misi." Koko Ci menerangkan kepada Kapten Kaizo. "Apa pendapat Kapten?"

Data-data berkenaan Ochobot, BellBot dan MotoBot muncul di skrin. Kaizo meneliti data tersebut dengan muka seriusnya untuk seketika sebelum memberi pendapatnya. "Aku setuju. Kuasa mereka lebih berguna di sini. Esok aku akan hantar kuasa – kuasa sphera yang lain ke HQ."

Koko Ci mengangguk faham. "Baik, Kapten. Pasukan pengiring kuasa sphera telah dimaklumkan dan mereka akan sertai Kapten esok."

"Lans Koperal Fang dan budak – budak Bumi tu?"

"Ye, Kapten." Dengan perasaan yang sedikit gemuruh, Koko Ci memerhatikan mimik muka dan gerak tubuh Kapten Kaizo untuk mengenal pasti responnya terhadap jawapan tersebut.

"Hmmm, baiklah. Beri amaran pada mereka untuk tiba di kapal angkasa aku tepat pada masanya. Jika tidak, aku sendiri akan hantar semua kuasa sphera."

"Baik, Kapten!" Koko Ci berbalas tabik hormat pada Kapten Kaizo.

Setelah Kaizo pergi meninggalkan bilik kawalan dan pintu sudah ditutup, Koko Ci menghela nafas lega.

~~~ Kaizo dan Fang Murasaki: Ujian Kenaikan Pangkat TAPOPS! ~~~

Jam 0755 di hangar kapal angkasa, lima anggota TAPOPS berlari menuju ke kapal angkasa Kapten Kaizo dalam keadaan kelam kabut. Ahli- ahli TAPOPS yang lain hanya memandang dengan rasa geli hati.

"Ha...ha...ha...sampai pun-!" Gopal berkata, termengah – mengah kerana penat berlari. Dia sudah terbaring di atas lantai besi yang sejuk akibat kepenatan.

Yaya dan Ying masih mampu bertahan, kedua – dua mereka cuba mengawal pernafasan dan lap titisan peluh menggunakan sapu tangan masing – masing.

"Nasib baik sempat sampai sebelum masa yang dijanjikan, kalau tak, Kapten mesti dah tinggalkan kita, dan kita dikira gagal dalam misi ni." Kata Fang yang memeriksa masa pada jam kuasa.

"Hehe...terbaik." Boboiboy masih mampu tersenyum.

"Apa yang korang buat tu?" Tegur Kaizo yang berdiri di pintu masuk kapal angkasa.

"Errr..." Boboiboy, Yaya, Ying, dan Gopal, yang lekas bangun dari lantai, memandang sesama sendiri.

Fang bersedia dalam keadaan senang diri dan memberi tabik hormat. "Kapten Kaizo. Lans Koperal Fang, Yaya, Ying dan Kadet Boboiboy dan Gopal melaporkan diri untuk misi penghantaran tiga belas sfera kuasa ke HQ." Fang mewakili pasukan mereka. Boboiboy, Yaya, Ying dan Gopal ikut memberi tabik hormat.

"Sudah, masuk ke dalam kapal. Kita bertolak jam 0830. Bersiap sedia." Tegas suara Kaizo memberi arahan sebelum dia beredar dari situ dan menuju ke bilik kawalan.

Boboiboy dan kawan – kawannya naik ke atas kapal angkasa Kaizo. Boboiboy dan Fang berjalan di hadapan manakala Yaya, Ying dan Gopal berjalan di belakang.

"Hahhh teringat masa kita lawan dengan Kapten Kaizo dulu. Susah betul nak kalahkan dia dan raksasa ungu tu." Gopal berkata masa mereka bergerak naik ke dalam kapal angkasa.

"Mesti lah susah. Kapten Kaizo kan Kapten. Kalau senang je kita kalahkan dia, dia takkan dapat pangkat Kapten tau." Yaya membalas.

Ying berjalan di sebelah Yaya. "Ya lorr, masa tu memang rasa susah. Tapi nasib baik kita tak ada putus asa. Akhirnya Boboiboy dan Fang bekerjasama dan dapatlah mereka kalahkan Kapten Kaizo tu!"

"Hmmm...cakap pasal pangkat...Fang!" Boboiboy memanggil nama rakan alien nya.

"Apa dia?"

"Aku nak tanya sikit, boleh? Macam mana ye sistem pangkat dalam TAPOPS ni?"

"Hah?" Terkejut Fang. Dia pandang ke arah Boboiboy. "Apasal tiba-tiba berminat nak tau ni?"

"Alah, saja je nak tahu. Takkan tak boleh?" Boboiboy soal balik.

Yaya, Ying dan Gopal berjalan lebih dekat, ingin mendengar dengan lebih baik.

"Ha ah lah, aku pun nak tahu." Yaya menyelit masuk perbualan mereka.

Ying ketawa kecil. "Hehe, saya pun sama!"

"Cerita lah Fang! Pastu bagilah kitorang tips untuk naik pangkat cepat!"

Fang mengeluh. "Nanti aku cerita. Sekarang ni kita ada tugas."

"Tugas? Tugas apa?" Boboiboy bertanya.

"Deyy, penyakit pelupa kau dah menyerang ye Boboiboy?" Gopal mengusap – usap kepala Boboiboy yang dilitupi topi dinasour orennya.

"Kan kita dah sama-sama baca maklumat misi malam semalam?" Yaya bercekak pinggang. "Kita ditugaskan untuk memastikan semua sfera kuasa ada di dalam bilik kebal sfera kuasa kapal angkasa ni dan berada dalam keadaan dorman sebelum kapal angkasa berlepas!"

"Jangan lupa, kita pun kena ronda kapal angkasa juga maa!" Ying menambah info misi mereka dalam perbualan.

"Ingat, ingat. Hehehe...Ampun, Yaya, ampun." Boboiboy tersenyum sipu ke arah Yaya, yang masih memandangnya dengan rasa tidak puas hati.

"Sudah, jangan nak bergaduh pulak." Fang meleraikan mereka secara verbal. "Sekarang, aku dan Boboiboy akan pergi ke bilik kebal sfera kuasa untuk periksa semua sfera kuasa. Yaya, Ying, Gopal, pergi ronda kapal angkasa ni.

"Deyy, kau Lans Koperal, sama pangkat dengan Ying dan Yaya. Boleh pulak kau bagi arahan?" Gopal menyoal.

Fang mengeluh panjang. "Pangkat kitorang sama, tapi aku lagi lama jadi ahli TAPOPS berbanding diorang. Jadi aku boleh dianggap ketua lah."

"Ohhh, hehe, ye ke?"

~~~Kaizo dan Fang Murasaki: Ujian Kenaikan Pangkat TAPOPS! ~~~

"Kapten mesti gembira, kan? Si Pang tu sertai pasukan kita untuk misi ni." Lahap berkata tanpa memandang ke arah Kaizo yang sedang duduk di kerusi kapten di belakangnya. Jari-jari Lahap laju menekan butang – butang keyboard untuk memastikan kapal angkasa pasukan dapat berlepas dengan lancar.

Kaizo tidak mengendahkan komen leftenannya. Di dalam tangannya adalah tablet persendiriannya. Dia sedang membaca semula perincian misi penghantaran sfera kuasa ke HQ. Sudah menjadi kebiasaan dia membaca lagi perincian misi sebelum memulakan sesebuah misi, walaupun sudah banyak kali dibaca.

Lahap menjeling ke belakang melihat Kaizo yang khuysuk membaca maklumat misi di paparan skrin tabletnya. Dia tahu kaptennya sebenarnya mengelak daripada memberi sebarang bentuk respon terhadap jawapannya. Walaupun tidak begitu ketara, Lahap kenal sangat dengan kaptennya. Dia sudah lama berkhidmat untuk kaptennya dan sedikit sebanyak mengenali kaptennya.

Sejak Fang dinaikkan pangkat dan ditugaskan ke pasukan lain bersama Sai dan Shielda, Lahap perasan Kaizo menghabiskan lebih banyak masa dengan latihan tempur dan menyelesaikan misi. Sebelum ini, masa terluangnya akan digunakan untuk melatih Fang. Melatih Fang merupakan cara Kaizo 'berkomunikasi' dengan Fang.

Kapten sebenarnya rindukan si Pang tu, bisik Lahap pada diri sendiri. Lalu, dia ketawa kecil. Kaizo menjeling tajam ke arah Lahap. Ada yang nak kena latihan tempur ni...

~~~Kaizo dan Fang Murasaki: Ujian Kenaikan Pangkat TAPOPS! ~~~

Selesai memeriksa keadaan sfera-sfera kuasa di bilik kebal sfera kuasa dan meronda kapal angkasa, Boboiboy dan rakan – rakannya melaporkan diri pada Kaizo. Kaizo menyuruh mereka berehat dahulu sementara kapal angkasa masih dalam perjalanan. Mereka 'diingatkan' untuk memeriksa keadaan kuasa sfera di bilik kebal kuasa sfera setiap jam serta meronda kapal angkasa setiap dua jam. Jika mereka mahu tidur, mereka 'dinasihatkan' untuk tidur bergilir – gilir.

Sekarang Boboiboy dan rakan – rakannya sedang berehat di ruang rehat kapal angkasa Kaizo. Mereka duduk di meja yang sama; Fang di kepala meja, Boboiboy di sebelah kanannya dan Yaya di sebelah kiri. Gopal duduk bersebelahan Boboiboy manakala Ying pula duduk di sebelah kiri Yaya. Di hadapan diri masing – masing adalah sebuah tray penuh dengan makanan. Di tengah meja mereka ada satu jag air jus oren dan lima gelas minuman.

Fang memandang segunung donut lobak merah di dalam tray makanannya dengan rasa tidak sabar. Dia membasahkan bibir dan menggosok – gosok kedua telapak tangan sebelum dia mengambil salah satu donut lobak merah kegemarannya. Belum sempat dia menikmati gigitan pertama donut lobak merah yang dicintai, Gopal telah merampas donut tu dengan sekelip mata.

Fang melopong melihat Gopal memasukkan donut tu ke dalam mulutnya dan mula menguyah. Mata Gopal tertutup bagi benar – benar menikmati keenakan donut lobak merah tu.

"Oii! Apasal kau ambik donut lobak merah aku, hah?!" Marah si Fang.

Gopal menelan donut lobak merah di dalam mulutnya sebelum menjawab bersahaja, "Eleh, apa salahnya aku ambik. Satu aje...banyak lagi dalam tray makanan kau tu, kan?"

"Satu ke, lapan ke, tetap donut aku! Kenapa kau ambik aje donut aku tu?! Kalau aku ambik makanan kau tak mintak kebenaran, kau suka?!" Fang mengacah mahu merampas makanan Gopal.

"Jangan usik makanan aku lah!" Laju Gopal menepis tangan Fang.

"Ishhh, kau ni, Gopal." Tegur Yaya, matanya menjeling ke arah Gopal. "Tak baik tau ambik hak orang. Banyak sekalipun, donut tu tetap donut dia. Kalau kau nak, kau mintak lah elok – elok. Mintak izin dulu. Main ambik je."

"Hehehe...jangan lah marah, Yaya. Yelah yelah, aku mintak maaf." Gopal akhirnya mengalah...dan menyumbat nasi alien berwarna hijau ungu ke dalam mulutnya.

Fang mengeluh. "Aii, takpelah. Aku maafkan. Tapi jangan buat lagi. Lain kali, kalau nak, kau kena mintak izin dulu."

"Weiii Fang."

"Yeee Boboiboy. Kau nak apa pulak?"

"Sambung lah yang tadi tu."

"Sambung apa? Sambung wayar otak kau, bagi jangan jadi pelupa sangat?"

Ying menggeleng kepalanya. "Aiyaa, berbaki lagi marah si Fang ni."

Boboiboy membuat muka. "Bukanlah. Maksud aku, pasal sistem pangkat tu lah."

"Apasal kau minat sangat nak tahu ni? Kau baru Kadet lagi." Fang bertanya.

"Takdelah, aku nak tahu je. Lagi satu, aku sebenarnya hairan kenapa Yaya dan Ying, Komander Koko Ci terus bagi pangkat Lans Koperal, sama pangkat dengan kau. Padahal, aku dengan Gopal dibagi pangkat Kadet je."

"Ha ah, aku pun sebenarnye tertanya – tanya jugak." Yaya memandang ke arah Fang.

Ying dan Gopal mengangguk, mereka juga ingin tahu.

Fang memandang gunung donut lobak merahnya dengan penuh rasa teringin dan menelan air liur. "Emmm...yelah, aku cerita. Dengar betul – betul, aku malas nak ulang lagi."

"Okay!"

Fang mengeluarkan tabletnya dan mula mencari sistem pangkat TAPOPS untuk ditunjukkan sebagai rujukan. "Wahhh!" Kagum mereka kerana akhirnya dapat melihat sistem pangkat TAPOPS.

"Dalam sistem pangkat TAPOPS, sebenarnya ada lima peringkat. Peringkat S, A, B, C dan D. Peringkat D peringkat yang paling bawah dan Peringkat S adalah yang paling atas. Dalam Peringkat D ada tiga pangkat, iaitu Rekrut, Kadet, dan Prebet. Masa kita Darjah 4 dan 5, pangkat aku Prebet, satu tahap lagi tinggi dari pangkat Boboiboy dan Gopal sekarang ni, iaitu Kadet. Hehe." Fang tersenyum sinis ke arah Boboiboy dan Gopal.

"Hmmm..." Boboiboy dan Gopal membuat muka. Sempat lagi si Fang ni berlagak.

"TAPOPS sangat menggalakkan ahli – ahli yang berada di Peringkat D ni untuk menjalani Ujian Kenaikan Pangkat supaya mereka boleh naik pangkat dan kalau boleh, keluar dari Peringkat D ni."

"Kenapa, Fang?" Soal Boboiboy.

"Sebab bidang tugas untuk pangkat – pangkat di Peringkat D ni sikit. Kalau naik pangkat, makin ramai anggota TAPOPS yang boleh dikerah untuk menjalankan misi – misi yang berbahaya dan diberi lagi banyak tanggungjawab. Mereka yang berada di Peringkat D boleh terus ambik Ujian Kenaikan Pangkat pada bulan Ujian iaitu pada bulan yang kesebelas setiap tahun."

"Bulan yang kesebelas? Maksudnya lagi tiga bulan lah ni!" Jelas Boboiboy teruja dengan prospek dinaikkan pangkat.

"Alahhh tapi kena ambik ujian! Habis lah aku, aku jadik Kadet je selama – lamanya! Amma, Appa, maafkan anakmu ini! Uhuhu!" Gopal berdrama pula di sudut ruang makan.

"Eiii Gopal! Sinilah, Fang nak sambung cerita ni!" Ying memanggil jiwa yang keseorangan itu.

Fang menyambung penerangannya setelah Gopal akhirnya menyertai mereka semula, berkat Yaya menariknya semula dengan tenaganya yang mengagumkan. "Okay, seterusnya adalah Peringkat C. Ada 4 pangkat dalam Peringkat ni. Lans Koperal, Koperal, Sarjan dan Staf Sarjan. Pangkat aku, Yaya dan Ying adalah pangkat yang paling rendah dalam Peringkat ni. Untuk ambik Ujian Kenaikan Pangkat, wajib ada sekurang – kurangnya 6 bulan pengalaman memegang jawatan sekarang, rekomendasi dari Peringkat A sekiranya ada atau perlu, memenuhi criteria pangkat yang dipertimbangkan dan lulus ujian. Bagi Sarjan dan Staf Sarjan, kena ada kekosongan baru boleh naik pangkat secara rasmi. Kalau tidak, hanya akan naik pangkat atas gelaran semata – mata. Bidang kuasa, bidang kerja dan gaji masih sama."

"Rekomendasi tu macam mana, Fang?" Soal Yaya pula.

"Rekomendasi tu, kau boleh mintak pihak atasan dari Peringkat A dan S untuk menulis surat rasmi rekomendasi TAPOPS untuk kau. Kau akan diselia untuk satu jangka masa dan terpulang pada mereka untuk menulis surat tu atau tidak."

"Ohh, macam tu ke. Hehe, boleh lah mintak Komander Koko Ci tuliskan surat rekomendasi tu." Gopal terfikir kan idea itu.

"Mmm, boleh. Itu pun kalau dia puas hati menyelia kau." Fang senyum sinis, puas hati melihat Gopal masam mencuka. "Next ialah Peringkat B. Kat Peringkat ni pun ada 4 tahap pangkat; Pegawai Waran II, Pegawai Waran I, Leftenan Muda dan Leftenan. Lahap berpangkat Leftenan, iaitu tahap pangkat paling tinggi untuk Peringkat B ni. Kat Peringkat ni, kalau nak duduki Ujian Kenaikan Pangkat, mesti ada sekurang – kurangnya satu tahun enam bulan pengalaman memegang jawatan sedia ada, penuhi criteria jawatan yang dipohon, wajib ada rekomendasi dan lulus ujian."

"Huiihh, kira hebat jugaklah Leftenan Lahap tu ye." Imej Lahap yang rendah, berbadan besar berwarna ungu pemakan toksik itu terlintas di fikiran Boboiboy.

"Peringkat A pulak ada 4 tahap pangkat iaitu Leftenan Komander, Komander, Kapten dan Laksamana Pertama. Komander Koko Ci dan abang aku, Kapten Kaizo ada dalam Peringkat ni."

"Wahhh, abang awak pangkat lagi tinggi dari Komander Koko Ci!" Ying kedengaran kagum.

Fang tersenyum bangga mendengar pujian yang ditujukan kepada abangnya. "Ye, memang pangkat abang lagi tinggi. Tapi disebabkan abang bekerja di lapangan dan Komander Koko Ci bekerja di pentadbiran, maka Komander Koko Ci boleh dikatakan sebagai orang atasan dia jugak. Untuk kenaikan pangkat di peringkat ni, mesti ada pengalaman menyandang jawatan yang diperoleh sekarang ni selama sekurang – kurangnya satu tahun enam bulan, penuhi semua kriteria jawatan yang dipohon, wajib ada rekomendasi dari Peringkat A untuk Leftenan Komander dan Komander dan rekomendasi dari Peringkat S untuk Kapten dan Laksamana Pertama, dan lulus ujian. Untuk pangkat Leftenan Komander dan Laksamana Pertama, mesti ada kekosongan baru boleh naik pangkat secara rasmi."

"Fang, kau penat tak? Minum lah air dulu." Boboiboy hulur segelas air jus oren kepada Fang.

Fang tersenyum, gembira dan tersentuh dengan kebaikan dan keprihatinan Boboiboy. "Terima kasih ye Boboiboy."

"Ehe...sama – sama Fang."

Setelah separuh jus oren yang diberi diminum, Fang sambung penerangannya. "Paling atas, Peringkat S. Empat tahap pangkat dalam peringkat ni ialah Laksamana Muda, Laksamana Madya, Laksamana dan Marsyal. Laksamana Tarung ada dalam Peringkat ni. Untuk Majlis Perlantikan dan Kenaikan Pangkat pada bulan kedua belas tahun ni, Laksamana Tarung akan balik dari persaraan dan dilantik secara rasmi menjadi Laksama semula. Untuk peringkat ni, kalau nak naik pangkat, mesti ada 2 tahun pengalaman menyandang jawatan yang disandang sekarang, criteria jawatan semua dipenuhi, wajib mendapat rekomendasi dari Marsyal, dan lulus ujian. Kat Peringkat ni juga kena tunggu untuk kekosongan jawatan. Untuk setiap kenaikan pangkat, kau akan dipertimbangkan untuk naik pangkat satu tahap. Tetapi atas pertimbangan pihak atasan, kalau mereka rasa kau layak, mereka boleh berikan pemberian pangkat lebih dari satu tahap. Paling tinggi yang mereka boleh bagi adalah tiga tahap. Tapi Ujian Kenaikan Pangkat bukannya senang. Susah, dan ramai yang kecundang, walaupun mempunyai surat rekomendasi."

"Deyy, berapa lama kau dah jadi Lans Koperal?" Gopal bertanya.

"Hampir 3 tahun."

"Kenapa kau tak naik pangkat lagi? Kau gagal Ujian Kenaikan Pangkat ke?" Gopal bertanya lagi, ingin mengusik si Fang.

Air muka Fang bertukar sedih. "Entah lah. Aku tak gagal pun Ujian Kenaikan Pangkat, aku lulus. Malah, aku dapat pasukan sendiri dan diberi latihan memandu kapal angkasa secara solo. Misi penyamaran pun aku dah buat beberapa kali. Macam aku ni berpangkat Sarjan pulak."

"Hmm...pelik nya." Yaya berasa simpati pulak. "Pernah tak kau tanya Komander Koko Ci pasal hal ni?"

"Pernah, tapi Komander Koko Ci kata dia tak tahu. Tapi aku rasa dia macam sembunyikan sesuatu."

"Jangan risau sangatlah Fang." Boboiboy menepuk – nepuk belakang Fang. "Aku yakin takde apa – apa yang perlu kau risaukan. Sementara tu, kau selesaikan semua tugas dan misi yang diberikan kat kau dengan cemerlang."

"Betul kata Boboiboy tu! Kalau kita berusaha bersungguh - sungguh, mesti akan dapat hasil yang baik!" Yaya menambah kata - kata semangat.

"Hmm baiklah. Terima kasih Boboiboy, Yaya."

Dah habis Fang terangkan sistem pangkat TAPOPS, mereka semua sambung makan semula. Gopal memberikan sebiji donut lobak merah miliknya kepada Fang untuk menggantikan donut lobak merah Fang. Yaya dan Ying memandang satu sama lain dan tersenyum - senyum.

"Tapi kau tak jawab lagi soalan aku. Kenapa aku dengan Gopal dapat pangkat Kadet je, sedangkan Yaya dengan Ying dapat Lans Koperal sama macam kau?" Boboiboy tiba - tiba menyambung sesi soal menyoal.

"Bagilah aku makan dulu!"